Monday, July 13, 2015

Kaki dan Klinik

Hujung tahun lepas, aku terjatuh ketika menuruni tangga CTF1 (bangunan yang menempatkan sebuah dewan kuliah besar dan enam bilik seminar). Salah aku juga yang tak reti-reti menilik anak tangga, sebaliknya ralit membaca mesej dari kawan. Aku tersilap melangkah turun anak tangga, aku fikir sudah habis anak tangga aku turuni. Rupa-rupanya ada satu lagi anak tangga yang aku terlepas pandang. Maka jatuh terduduklah aku dengan sopannya.


Buku lali terasa mengembang dan kepala terasa nyeri dengan sakitnya. Aku berjalan perlahan-lahan sampailah ke General Lab 1 di bangunan FSKTM. Memang terdengkut-dengkut, tapi sebab pakai jubah Batman makanya tak ketara sangat sumbang langkah itu. Duduk dalam bilik komputer yang berhawa dingin itu, rupanya mengundang kaki yang bengkak semakin membengkak. Mahu atau tidak, aku terpaksa buka stokin. Allah, gemuknya kaki!

Masa hendak beli makanan, aku sudah tidak boleh berpijak lagi. Terpaksa melompat-lompat guna sebelah kaki macam orang main tingting. Terpaksa minta tolong Anna untuk belikan ais buat tekap di bengkak kaki. Terpaksa minta tolong pada Tra untuk papah aku dan bawakan aku ke klinik. Terpaksa minta ihsan Shyamala untuk tumpang katilnya di tingkat bawah katilku untuk seminggu dua.


Nota:

Berkawan usah memilih. Ketika ini, aku ditolong oleh kawan berlainan bangsa dan agama. Aku bersyukur kerana mereka sudi menjadi kawan baik aku selama aku menuntut di UNIMAS.

No comments: